|
MGG-P6/0519
HAMID ALBAR CELUPAR TAK KENA TEMPATNYA
Menteri
Luar, Syed Hamid Albar telah cuba sesuatu di mana orang yang bangang pun tidak
berani melakukannya. Beliau yang baru sahaja tersilap langkah dalam menangani kes
penculikan Sipadan, kini cuba mengajar seorang ahli politik Indonesia akan apa ertinya
"Semangat" ASEAN. Pengerusi Dewan Perundangan Rakyat Indonesia, Sdr. Amien Rais,
telah bertemu dengan presiden keADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Dalam pertemuan
itu Amien Rais telah menyatakan betapa beliau menganggap penahanan Anwar Ibrahim adalah
sebagai tahanan politik dan "bukan sebagai banduan jenayah." Berita itu
walaupun mungkin dipetik oleh akhbar tempatan tentunya dimuatkan di sudut yang tercorok
sahaja.
Syed Hamid Albar berpendapat bahawa Amien Rais cuba campur urusan dalaman
Malaysia. Di sebaliknya pula kelantangan Perdana Menteri menggasak rakan
sejawatannya di Australia beberapa hari yang lalu tidak ditakrifkan sebagai
campur tangan hal dalaman Australia. Perdana Menteri Malaysia dikira berkelayakan
dan berhak untuk melakukan hal itu kepada negara lain. Sepatutnya kalau Hamid Albar
benar-benar tersinggung dengan pendapat Amin Rais dia boleh menyatakan bantahannya dengan
mempersilakan dua Indonesia di Kuala Lumpur untuk menyerlahkan ketidak-senangan kerajaan
Malaysia. Tetapi perkara begitu tidak mahu dilakukannya. Inilah antara penyebabnya
kenapa dia kalah dalam pencalonan naib presiden UMNO minggu yang lalu.
Hamid
Albar bertegas mengatakan bahawa Anwar Ibrahim telah didapati bersalah kerana korupsi dan
penghakiman kes sodomi yang berlangsung sekarang ini, tidak bermotifkan politik. Ekoran
kegagalan pihak pendakwa mengemukakan sebarang bukti dalam kes sodomi itu, ia hanya mampu
menghancurkan reputasi mantan timbalan perdana menteri. Mahkamah tinggi telah mengarahkan
agar segala tuduhan sodomi itu ditolak dan membenarkan beberapa bentuk tuduhan diubah
sehinggakan beliau tidak mampu membela dirinya daripada tuduhan yang dikenakan itu.
Selepas itulah dia dihukum berdasarkan korupsi. Mahkamah Rayuan pula memperakukan hukuman
dengan mengambil-kira bukti yang telah disisihkan itu. Inilah yang dikatakan oleh
Hamid Albar sebagai sesuatu "yang mematuhi sistem kehakiman negara di Malaysia."
Seperti
juga Amien Rais, rakyat Malaysia memang jengkel dengan cara mantan timbalan perdana
menteri itu diaibkan. Malahan ramai ahli UMNO berkeyakinan betapa wujudnya satu konspirasi
politik yang mendera beliau dan bukannya perbuatan jenayah yang menjadi penyebabnya.
Selagi pendapat umum ini tidak dapat disahkan salah, menteri luar Malaysian ini
harus bersedia menerima kritikan bukan sahaja daripada Amien Rais bahkan daripada orang
lain juga. Kalau dia merasa tersinggung dengan kritikan seperti itu terpulanglah kepada
beliau untuk mencari jalan memperbetulkan keadaan. Cara Mahkamah Tinggi
mengendalikan kes timbalan perdana menteri itu dan membenarkan pula seorang Perdana
Menteri mengelat dari menghadirkan diri setelah disapina adalah satu bukti sahih
dalam hal ini.
Bila disebut semangat ASEAN itu, Syed Hamid Albar memang amat
faham betapa semangat itu tidak pernah wujud. ASEAN sebenarnya sudah diperlekehkan oleh
Malaysia, setelah berlakunya perubahan di kalangan negara-negara itu yang meminggirkan
status quo para pemimpinnya. Sekarang ini Indonesia dan Vietnam, yang mendominasi kumpulan
itu. Samada kita suka ataupun tidak Indonesia melambangkan pengaruh Islam dan
Vietnam melambangkan pengaruh Buddhisme. Sifat-sifat perasaan kasih sayang yang
terdapat dalam ajaran Islam dan juga Buddhisme telah menggerakkan Sdr. Amien Rais untuk
membuat kenyataan yang berpihak kepada Anwar Ibrahim. Malahan Presiden
Abdurrahman Wahid memang lantang dalam kritikannya akan cara sahabatnya Anwar,
dilayan di Malaysia.
Adalah lebih baik kalau Syed Hamid Albar berusaha membina
jambatan persaudaraan daripada membakarnya. Kegagalan beliau menyerlahkan
kewibawaannya dalam isu Sipadan menunjukkan betapa dia selalu cakap tak serupa bikin.
Dia tidak pernah memberikan jawapan kepada tawaran Indonesia untuk berbincang dengan
presiden Joseph Estrada di Manila berkenaan isu tebusan para pelancung asing di Sipadan
itu. Tawaran itu tidak terlaksana kerana Malaysia tidak mahukan bantuan dalam hal itu.
Sebagaimana
yang diketahui umum, Sipadan adalah sebuah kawasan yang sedang dirujukkan ketuanannya
kepada Mahkamah Antarabangsa. Tetapi, Malaysia telah memajukan kawasan itu menjadi satu
pusat pelancungan. Tindakan ini tentunya mencetuskan tidak senang-hati di antara
Kuala Lumpur dan Manila.
Menteri-menteri di Malaysia merasa tersinggung setiap kali
Anwar dipuji di luar negara. Mereka mahu Anwar dikenal sebagai seorang pesalah kes
jenayah. Teks asli akan sentimen ini tidak pernah disiarkan, tetapi reaksi rasmi
mengenaninya memang sudah banyak. Inilah sikap rasmi tentang kebebasan akhbar; di
mana musuh regim yang memerintah dikejar dan dihambat seboleh-bolehnya. Kerana itu
media massa Malaysia memberikan ruang yang penuh kepada kritikan Perdana Menteri terhadap
Mr. Johan Howard. Perkara yang sama tentu tidak akan dicontohi dalam menerbitkan kritikan
Amien Rais terhadap seorang insan yang sepatutnya sudah pun menjadi perdana menteri negara
ini.
Perangai Hamid Albar yang mudah melenting setiap kali nama Anwar Ibrahim
disebut, menunjukkan walaupun pemenjaraan itu berasaskan kesalahan jenayah, sudah pasti
ada unsur konspirasi politik di sebaliknya. Masalah yang sedang dihadapi oleh
Perdana Menteri selepas berakhirnya persidangan UMNO memang memberi
penekanan kepada unsur politik dalam pengaiban Anwar. Inilah perkara sebenar
yang dimaksudkan oleh Hamid Albar bila dia mengatakan Amin Rais tidak memahaminya.
Terjemahan
oleh -MT-
|